Acara Khas Apple iPadOS

iPadOS 14 Diperkenalkan Secara Rasmi Oleh Apple

Apple dalam acara khas WWDC yang berlangsung secara maya hari ini telah memperkenalkan sistem operasi iPadOS 14 kepada umum. Sama seperti yang terdapat pada iOS 14, iPadOS 14 juga menyokong paparan widget yang boleh diletakkan pada halaman skrin yang juga telah membawa penambahbaikan ciri dan fungsi yang terdapat pada iPadOS 13 sebelum ini.

Melaluinya, tulisan tangan yang ditulis dengan menggunakan Apple Pencil kini boleh disalin semula dan ditukarkan kepada bentuk teks yang ditaip. Ini secara langsung memudahkan pengguna untuk membuat kerja dengan lebih pantas tanpa perlu menaip semula teks yang telah ditulis.

Paparan antaramuka penerimaan panggilan FaceTime dan telefon, interaksi Siri kini berasaskan rekaan kompak dan lebih kemas. Ciri ini juga terdapat pada iOS 14 dimana antaramuka halaman skrin tidak lagi dihalang dan ditutup sepenuhnya yang menyekat penggunaan peranti.

Ciri carian pada iPadOS 14 juga diperbaharui dengan rekaan kompak yang berasaskan Search pada macOS. Pengguna tidak lagi perlu lagi mengakses halaman utama skrin untuk membuat carian dan boleh membuatnya secara terus melalui dalam aplikasi.

Sokongan Apple Pencil juga ditambah baik dengan sokongan yang boleh mengenal pasti teks tulisan tangan seperti nombor telefon, tarikh dan alamat tanpa perlu menaip semula dengan menggunakan papan kekunci. Penambahbaikan yang lain terdapat pada iPadOS 14 ini ialah realiti terimbuh yang lebih tepat, Safari, Maps dan banyak lagi.

iPadOS 14 bakal diperkenalkan pada bulan September kelak.

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen