Acara Khas Apple iOS

iOS 14 Diperkenalkan – Membawakan Sokongan Widget Pada Halaman Skrin


Dengan acara WWDC yang berlangsung secara maya, Apple telah memperkenalkan sistem operasi baharu bagi peranti iPhone dan iPod iaitu iOS 14 kepada umum. iOS 14 ini merupakan perubahan terbesar kali ketiga yang pernah Apple lakukan pada antaramuka iOS setelah versi pertama yang diperkenalkan pada tiga belas tahun lepas.

Pada halaman skrin, pengguna kini boleh menambahkan paparan widget mengikut aplikasi yang dipasang. Penggunaan widget ini secara langsung telah memudahkan pengguna untuk mengikuti sebarang kemas kini atau informasi dengan lebih pantas tanpa perlu membuka aplikasi tersebut.

Selain itu, iOS 14 juga membolehkan untuk pengguna menyembunyikan halaman skrin yang tidak ingin dipaparkan. Seperti contoh, iPhone yang mempunyai banyak helaian halaman skrin boleh disembunyikan oleh pengguna untuk memendekkan proses menatal untuk mencari aplikasi yang penting digunakan. Rata-rata pengguna mempunyai helaian halaman skrin dengan aplikasi yang tidak kerap digunakan.

Bagi memudahkan lagi, aplikasi pada helaian halaman skrin yang disembunyikan boleh diakses melalui App Library apabila menatal ke halaman akhir skrin. App Library ini akan mengasingkan aplikasi mengikut kategori masing-masing dan juga disusun mengikut penggunaannya oleh pengguna.

Paparan antaramuka seperti penerimaan panggilan dan interaksi Siri juga telah dikemas kini dengan lebih kemas. Antaramuka kedua-dua aplikasi ini tidak lagi dipaparkan sepenuhnya, dengan ini pengguna tidak lagi dihalang dengan paparan yang agak menjengkelkan dan seterusnya menutup halaman skrin ketika digunakan.

Bagi memudahkan pengguna untuk memahami penggunaan sesuatu aplikasi, ciri App Clips ialah bahagian kecil yang boleh digunakan untuk menyelesaikan sesuatu tugas dengan lebih pantas. Seperti contoh, pengguna yang ingin menyewa basikal atau membeli minuman boleh mengimbas kod App Clips atau meletakkan pada tag NFC ataupun kod QR yang terdapat di lokasi untuk proses sewaan dan pembelian dengan pantas tanpa perlu membuka aplikasi mahupun memuat turun aplikasi tersebut.

Pada aplikasi Message, perbualan kenalan kini boleh disematkan pada bahagian atas senarai mesej bagi memudahkan pengguna untuk mengikuti dengan lebih pantas. Dalam perbualan kumpulan, pengguna boleh menyebut nama kenalan bagi sesuatu mesej yang ingin ditujukan secara terus. Maklum balas kenalan juga dipaparkan mengikut perbualan yang dibalas.

Terdapat lagi pelbagai ciri dan fungsi baharu yang dibentangkan dan tersedia kepada pengguna kelak. Kemas kini iOS 14 ini bakal dilancarkan secara rasmi pada bulan September ini bersama-sama barisan iPhone baru yang akan diperkenalkan.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen