Mac

Sebahagian Pemilik MacBook Pro 16-Inci Melaporkan Pengecasan MagSafe Tidak Berfungsi Dengan Baik

Menerusi forum di Reddit, terdapat sebahagian pemilik MacBook Pro 16.2-inci baharu melaporkan masalah pengecasan MagSafe 3 yang tidak berfungsi setelah dimatikan dan skrin dikatupkan pada badan komputer. Buat masa ini, hanya model MacBook Pro 16.2-inci sahaja yang mengalami masalah ini dan tidak terjadi pada model 14.2-inci.

Pengguna melaporkan komputer mereka tidak dicaskan kuasa dengan menggunakan MagSafe apabila sistem dimatikan dan skrin dikatupkan. Lampu pada MagSafe juga berkelip-kelip dengan cahaya oren dengan bunyi mengecas berkali-kali didengari menandakan tiada pengecasan dilakukan. Jika terdapat kuasa pada pengecasan, lampu MagSafe akan bercahaya oren tanpa berkelip dan apabila sudah penuh ia akan berwarna hijau juga tanpa berkelip.

Sumber: Video pada pautan di atas.

Terdapat juga pengguna yang menghubungi Apple Support untuk menyelesaikan masalah ini. Namun, tidak semua dapat diselesaikan sehinggakan Apple Support mengambil keputusan untuk menghantar sebuah komputer gantian, menurut seorang pengguna yang memberi maklum balas mengenai perkara ini.

Masalah ini tidak terjadi apabila MacBook dihidupkan dan dimatikan ketika pengecasan MagSafe aktif disambungkan. Hanya pengguna yang mahu mengecas komputer mereka apabila ia sudah dimatikan. Menurut Apple Support, pihak Apple sudahpun mengetahui mengenai perkara ini dan sedang disiasat. Sebarang kemas kini akan dilaporkan kelak.

Pemilik khususnya model MacBook Pro 16-inci disarankan untuk membuat pemeriksaan mengenai masalah ini. Jika terjadi, hubungi dan laporkan kepada Apple dengan segera.

Sumber artikel: MacRumors

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen