AirPods

Lihat Komponen Dalaman Tiga Generasi AirPods Dengan Imbasan Tomografi Berkomputer


Imbasan sinar-x seringkali digunakan dalam perubatan. Tidak kuranglah juga ada yang menggunakannya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan, kedudukan dan jenis komponen bagi sesuatu peranti seperti mana yang dilakukan oleh iFixit sebelum meleraikan produk buat pertama kali. Perkara ini adalah penting untuk memastikan komponen peranti tidak rosak ketika proses peleraian.

Kali ini ada pula yang menggunakan imbasan tomografi berkomputer (computerised tomography scan, CT scan) untuk mengimbas peranti Apple AirPods. Laman Scan of the Month memberikan pengalaman untuk melihat bagaimana suatu produk kecil boleh mempunyai pelbagai komponen yang diposisikan untuk berfungsi. Apple juga sememangnya selalu melakukan ujian prototaip dengan penggunaan plastik lutsinar pada produk mereka seperti Apple AirPods yang dilaporkan baru-baru ini.

Untuk bulan ini, laman tersebut telah memilih tiga model AirPods iaitu AirPods generasi pertama, AirPods Pro dan AirPods generasi ketiga. AirPods generasi pertama mula diperkenalkan pada tahun 2016 berharga RM849. Disaat bahagian mikrofon yang terkeluar di antara cuping telinga, ia telah menjadi bahan jenaka dan ikonik sehinggakan ia adalah antara fon telinga nirwayar yang disukai oleh orang ramai dan mudah digunakan.

Model AirPods Pro dilancarkan pada tahun 2019 yang hadir dengan ciri Spatial Audio dan pembatalan hingar aktif (ANC). AirPods Pro juga antara fon telinga yang popular digunakan dan buat pertama kali juga ia membawakan rekaan yang lebih kecil dan mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja. AirPods Pro masih lagi dijual di Malaysia berharga RM 1,099.

Pada tahun ini, Apple telah memperkenalkan AirPods generasi ketiga dengan rekaan baharu seakan model AirPods Pro tetapi tidak mempunyai putik telinga bagi ciri pembatalan hingar aktif (ANC). Pengguna masih boleh menggunakan ciri Spatial Audio termasuklah audio Dolby Atmos. Di Malaysia, ia dijual pada harga RM829.

Untuk pandangan sudut keseluruhan 360 darjah, anda boleh layari laman Scan of the Month ini.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen