Aksesori

Kuo: Peranti Realiti Terimbuh Generasi Kedua Apple Bakal Dilancarkan Pada 2024


Penganalisis terkemuka, Ming-Chi Kuo hari ini telah mengeluarkan laporan baharu mengenai hala tuju dan pembangunan produk Apple akan datang. Peranti realiti terimbuh dan realiti maya buatan Apple sememangnya hangat dikatakan dan dilapor bakal dilancarkan pada tahun hadapan.

Menurut beliau, peranti generasi pertama ini akan mempunyai berat sebanyak antara 300 hingga 400 gram. Berdasarkan laporan oleh beliau sebelum ini, peranti ini akan dijana dengan cip pemproses yang setanding dengan cip M1 pada Mac.

Sungguhpun peranti ini belum lagi dilancarkan dengan rasmi tetapi kini dilaporkan sudahpun mula menghasilkan generasi kedua. Ming-Chi Kuo juga berkata, generasi kedua bagi peranti realiti terimbuh ini bakal mempunyai rekaan baharu, sistem bateri yang lebih tahan lama dan cip pemproses yang lebih pantas.

Penghasilan peranti ini dilaporkan bakal dimulakan secara besar-besaran bermula suku keempat tahun hadapan. Berkemungkinan ia akan diperkenalkan terlebih dahulu pada acara khas Apple dan setelah pra-tempahan diambil ia akan dijual secara rasmi kepada pengguna.

Peranti realiti terimbuh buatan Apple ini dijangka akan memfokuskan kepada permainan, kandungan media dan komunikasi. Beliau juga pernah berkata peranti ini akan menggantikan iPhone sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sumber artikel: MacRumors


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen