Mac

Pembelian MacBook Pro 14-Inci Dan 16-Inci Baharu Boleh Dibuat Secara Rasmi Di Malaysia

Laman jualan rasmi Apple Malaysia pada hari ini telah mengemas kini berkaitan model MacBook Pro baharu. Pembelian MacBook Pro 14.2-inci dan 16.2-inci kini boleh dibeli di Malaysia dengan secara rasminya setelah diperkenalkan pada bulan lepas melalui acara khas Apple. Sebanyak dua warna yang ditawarkan iaitu Space Gray dan Silver.

MacBook Pro 14.2-inci boleh didapati dengan cip pemprosesan M1 Pro. Sebanyak dua konfigurasi yang boleh dipilih iaitu CPU dengan 8-teras, GPU 14-teras, 16GB RAM dan storan 512GB SSD serta pengecas 67W USB-C manakala pengguna boleh memilih pilihan CPU dengan 10-teras, GPU 16-teras, 16GB RAM dan storan 1TB SSD serta pengecas 96W USB-C.

Masing-masing dijual pada harga RM8,799 dan RM10,799.

Untuk MacBook Pro 16.2-inci pula ditawarkan dengan dua pilihan cip M1 Pro dan M1 Max dengan tiga konfigurasi yang boleh dipilih. Bagi cip M1 Pro, ia ditawarkan dengan CPU 10-teras, GPU 16-teras, 16GB RAM dan dua storan yang boleh dipilih iaitu 512GB atau 1TB SSD. Bagi cip M1 Max pula, CPU 10-teras, GPU 32-teras, 32GB RAM dan storan 1TB SSD.

Ketiga-tiga model ini disertakan dengan pengecas 140W USB-C dengan masing-masing berharga RM10,799, RM11,599 dan RM14,799. Pengguna dari golongan profesional boleh memilih pilihan konfigurasi masing-masing mengikut kepenggunaan sendiri.

Model MacBook Pro baharu ini disertakan dengan port pengecas MagSafe dan sambungan HDMI termasuklah port kad SD pada bahagian sisi. Ia tidak lagi dilengkapi dengan Touch Bar dan digantikan dengan papan kekunci fizikal yang lebih besar. Bagi bahagian skrin, ia menggunakan skrin mini-LED dengan sokongan kadar segar semula ProMotion 120Hz dan boleh mencapat kecerahan 1600 nits. Kamera web juga ditingkatkan dengan kualiti 1080p.

Menurut Apple, MacBook Pro baharu ini boleh menyunting video 8K tanpa menggunakan pengecas dan ketahanan bateri sehingga 17 jam bagi model 14.2-inci dan 21 jam bagi model 16.2-inci. Ia juga turut menyokong pengecasan pantas sebanyak 50% dalam masa 30 minit. Ciri Neural Engine yang terdapat pada cip M1 Pro dan M1 Max menjadikan video panggilan lebih berkualiti dan menepati warna persekitaran. Dari segi audio, sebanyak enam pembesar suara ditempatkan pada bahagian tepi komputer dan sokongan Spatial Audio melalui Dolby Atmos.

Pengguna yang berminat boleh melakukan pembelian melalui laman jualan rasmi Apple Malaysia. Jualan melalui wakil penjual bakal diumum melalui media sosial mengikut stok bekalan dan lokasi.

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen