Acara Khas Apple iPhone

Apple Memperkenalkan iPhone 11 Pro Dan iPhone 11 Pro Max Dengan Tri-Kamera Belakang, Bermula Dari RM4899


Apple hari ini telah memperkenalkan model iPhone baharu bagi tahun ini iaitu iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max. Kedua-dua iPhone baharu ini menggunakan skema nama baharu dengan penambahan terma ‘profesional’ dan juga mengembalikan penggunaan nombor angka. iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max hadir dengan skrin 5.8-inci Super Retina dan 6.5-inci Super Retina yang berasaskan panel OLED, sama seperti variasi iPhone XS dan iPhone XS Max tahun lepas.

Kedua-dua telefon pintar ini dikuasakan dengan cip pemprosesan A13 Bionic dengan rekaan berasaskan 7nm. Cip Apple A13 Bionic hadir dengan rekaan gabungan CPU dan GPU yang lebih pantas berbanding iPhone XS dan iPhone XS Max.

Perubahan besar yang terdapat pada kedua-dua telefon pintar ini ialah penawaran tri-kamera belakang. Ketiga-tiga kamera tersebut ialah lensa sudut lebar, lensa sudut lebar ultra dan lensa telefoto. Menurut Apple, kamera ini mampu untuk keupayaan zum optik dari 0.5x ke 2x, apertur f/2.4 dan ciri Night Mode bagi prestasi yang lebih baik apabila berada dalam keadaan gelap. Bahagian kamera juga turut dilengkapi dengan sistem pemprosesan imej dinamakan sebagai ‘Deep Fusion’ dengan menggabungkan sebanyak 9 gambar yang dianalisis pada setiap piksel.

Bagi kamera hadapan pula disertakan dengan sensor 12-megapiksel dan Face ID yang ditambah baik. Ciri rakaman perlahan iaitu Slo-mo juga ditambah dan dinamakan sebagai ‘Slofies’ untuk swafoto. Kesemua kamera menyokong ciri rakaman video 4K pada 60fps serta kebolehan untuk menangkap gambar 8-megapiksel ketika membuat rakaman video tersebut.

Bagi penggunaan harian, kedua-dua telefon pintar ini dikatakan menawarkan ketahanan bateri yang lebih lama berbanding model sebelum ini. Untuk iPhone 11 Pro menawarkan masa penggunaan tambahan sebanyak 4 jam berbanding iPhone XS, sementara iPhone 11 Pro Max pula menawarkan masa penggunaan tambahan selama 5 jam berbanding iPhone XS Max sebelum ini.

Dari segi rekaan, kedua-dua model masih mengekalkan rekaan yang sama seperti model tahun lepas dengan beberapa perubahan. Seperti contoh, logo Apple di belakang kini berada pada posisi tengah dan kemasan kaca kasar (matte). Saiz storan juga masih dikekalkan dengan 64GB, 128GB dan 512GB. Bagi warna pula, sebanyak 4 pilihan variasi iaitu Goldm Midnight Green, Silver dan Space Grey.

Harga jualan ialah bermula dari:

  • iPhone 11 Pro 64GB : RM4899
  • iPhone 11 Pro 256GB : RM5599
  • iPhone 11 Pro 512GB : RM6499
  • iPhone 11 Pro Max 64GB : RM5299
  • iPhone 11 Pro Max 256GB : RM5999
  • iPhone 11 Pro Max 512GB : RM6899

Kedua-dua telefon pintar ini akan boleh mula didapati bermula dari 27 September secara rasminya di Malaysia.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen