Apple Arcade Berita

Apple Arcade Mula Dilancarkan Untuk Pengguna Terpilih


Servis langganan permainan mudah alih oleh Apple iaitu Apple Arcade, kini mula dilancar untuk beberapa pengguna di negara yang terpilih. Apple Arcade bakal dilancarkan secara rasmi pada 20 September ini yang merangkumi kesemua produk Apple iaitu iPhone, iPod, iPad, Apple TV dan Mac yang menggunakan sistem operasi terkini seperti iOS 13, iPadOS 13, tvOS 13 dan macOS Catalina.

Buat masa ini, hanya pengguna iOS 13 dan iOS 13.1 beta sahaja yang boleh mula melanggan dan mencuba permainan yang ditawarkan. Apabila anda membuka aplikasi App Store, pada halaman tab Arcade kini terdapat butang ‘Try It Free’ yang membolehkan anda untuk mendaftar Apple Arcade dengan diberi tempoh percuma selama sebulan untuk mencuba servis permainan ini.

Selepas tempoh tersebut tamat, Apple Arcade akan berharga sebanyak RM19.90 sebulan jika anda ingin meneruskan langganan. Setelah selesai pendaftaran, pelbagai tajuk dan kategori permainan pada katalog yang boleh dipilih seperti teka-teki, aksi, perlumbaan, strategi dan banyak lagi. Proses pemasangan aplikasi permainan adalah sama seperti memasang aplikasi yang biasa. Cari permainan pada katalog dan tekan ‘GET’ untuk pemasangan, setelah selesai, aplikasi permainan tersebut akan terdapat pada halaman hompej peranti anda.

Anda boleh bermain permainan yang ditawarkan pada kesemua produk Apple yang anda miliki dengan tanpa had, tanpa sekatan, tanpa iklan dan tanpa pembelian dalam aplikasi serta boleh dimain secara di luar talian termasuklah boleh dibatalkan pada bila-bila masa sahaja. Menurut Apple, permainan baharu yang ditambah secara kerap. Langganan servis ini juga boleh berkongsi sehingga 5 orang menggunakan Family Sharing tetapi hanya terhad kepada satu penebusan sahaja bagi setiap kumpulan.

Setiap permainan premium yang disertakan dalam pakej Apple Arcade hanya eksklusif terdapat dalam langganan Apple Arcade ini tidak tersedia pada halaman Apple App Store. Bagi yang berminat, anda perlu mengemas kini peranti bagi membolehkan untuk mengunjungi halaman tab Apple Arcade di Apple App Store pada 20 September kelak.

Sistem operasi iOS 13 dan tvOS 13 akan dilancar secara rasmi pada 20 September ini manakala macOS Catalina pada bulan Oktober. Bagi iPadOS 13, kemas kini sedia dilakukan pada 1 Oktober kelak.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen