Apple Arcade

Apple Arcade Dilancarkan Untuk Pengguna macOS Catalina Beta

Apple pada hari ini telah melancarkan servis langganan permainan iaitu Apple Arcade kepada pengguna Mac yang menggunakan macOS Catalina beta. Ini termasuklah pembangun dan juga pengguna berdaftar di bawah program Public Beta. Semalam, versi Golden Master (GM) atau versi beta terakhir telah dikeluarkan yang juga sebagai kemas kini yang bakal dilepaskan kepada umum.

Pelancaran ini secara langsung telah melengkapkan ketersediaan servis Apple Arcade pada kesemua sistem operasi di bawah Apple. Sebelum ini, pengguna iOS, iPadOS dan tvOS sudah pun boleh melanggan dan memainkan permainan yang terdapat di dalam servis Apple Arcade ini.

Pengguna beta macOS Catalina yang ingin melanggan servis ini boleh melakukannya dengan membuka aplikasi App Store dan pergi ke tab Apple Arcade. Tekan pada ‘Try If Free’ dan anda diminta untuk mengesahkan langganan dengan Touch ID atau pun memasukkan kata laluan Apple ID. Kemudian anda perlu bersetuju dengan terma dan syarat Apple.

Setelah proses langganan selesai, anda boleh memuat turun permainan daripada pelbagai kategori yang disediakan. Ada permainan yang menyatakan pada deskripsi mengenai sokongan alat kawalan jauh Xbox One S dan PlayStation DualShock 4. Jika anda pergi ke bahagian bawah, anda boleh melihat senarai permainan yang telah ditambah pada hari semasa dan sebelumnya.

Apple Arcade ialah berharga sebanyak RM19.90 sebulan. Anda akan diberi tempoh percubaan percuma selama sebulan selepas langganan dibuat. Anda boleh bermain permainan yang ditawarkan pada kesemua produk Apple yang anda miliki dengan tanpa had, tanpa sekatan, tanpa iklan dan tanpa pembelian dalam aplikasi serta boleh dimain secara di luar talian termasuklah boleh dibatalkan pada bila-bila masa sahaja.

Langganan servis ini juga boleh berkongsi sehingga 5 orang menggunakan Family Sharing tetapi hanya terhad kepada satu penebusan sahaja bagi setiap kumpulan.

Haziq Harun

Artikel ini saya tulis. Saya menulis artikel ini. Artikel ini ditulis oleh saya.

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen