Berita macOS

macOS Catalina 10.15 Kini Boleh Dimuat Turun Secara Rasmi

Apple hari ini telah melepaskan sistem operasi baharu bagi komputer Mac iaitu macOS Catalina 10.15 kepada pengguna umum. macOS Catalina mula diperkenalkan pada acara khas Apple WWDC bulan Jun 2019 yang lepas bersama-sama dengan sistem operasi yang lain seperti iOS 13, iPadOS 13, watchOS 6 dan tvOS 13. Sistem operasi ini telah diuji selama beberapa peringkat beta sehingga versi GM dilepaskan pada hari Jumaat yang lepas.

Berikut ialah senarai komputer Mac yang menyokong macOS Catalina ini:

  • MacBook – bermula tahun 2015 dan seterusnya
  • MacBook Air – bermula tahun 2012 dan seterusnya
  • MacbBok Pro – bermula tahun 2012 dan seterusnya
  • Mac Mini – bermula tahun 2012 dan seterusnya
  • iMac – bermula tahun 2012 dan seterusnya
  • iMac Pro – bermula tahun 2017 dan seterusnya
  • Mac Pro – bermula tahun 2013 dan seterusnya

macOS Catalina membawakan pelbagai senarai ciri dan fungsi termasuklah senarai aplikasi baharu. Aplikasi iTunes tidak lagi didapati pada sistem operasi ini dan telah dipecahkan kepada tiga aplikasi iaitu Apple Music, Apple Podcast dan Apple TV. Bagi urusan peranti iOS dan iPadOS, proses membuat salinan data pendua, kemas kini dan penyahgredkan boleh dibuat melalui Finder.

Menurut Apple, penggunaan variasi aplikasi ini akan memudahkan dan menambahbaikan bagi penggunaan media pada komputer Mac. Aplikasi Apple Music akan dihubungkan dengan akaun Apple Music anda dan memberikan akses sepenuhnya untuk penstriman lagu, video muzik, stesen radio Beats1, lagu yang dimuat turun, senarai lagu dan banyak lagi. Untuk pembelian lagu berasingan, iTunes Music Store masih berfungsi seperti biasa dalam aplikasi Apple Music.

Apple juga turut memperkenal ciri baharu yang dinamakan Sidecar, membolehkan peranti iPad digunakan sebagai skrin pendua atau paparan lanjutan kepada komputer Mac samada secara kabel atau nirwayar. Dengan ini pengguna boleh menggunakannya bersama Apple Pencil untuk aplikasi melukis seperti Photoshop dan sebagainya. Namun, hanya beberapa komputer Mac yang menyokong ciri ini:

  • iMac 27-inci – bermula akhir tahun 2015 dan seterusnya
  • MacBook Pro – bermula pertengahan tahun 2016 dan seterusnya
  • Mac Mini – bermula akhir tahun 2018 dan seterusnya
  • MacBook Air – bermula akhir tahun 2018 dan seterusnya
  • MacBook – bermula awal tahun 2016 dan seterusnya
  • Mac Pro 2019
  • iMac Pro 2017

Selain dari itu, macOS Catalina juga mempunyai ciri Screen Time sama seperti iOS dan penambahbaikan kepada aplikasi Photos, Safari, Mail, Notes, dan Reminders. Dengan penggunaan cip T2 kini menyokong fungsi Activation Lock, pengguna boleh mengunci komputer Mac jika tersalah letak atau pun telah diambil oleh orang lain. Sesetengah aplikasi tidak boleh digunakan seperti aplikasi 32-bit selepas mengemas kini sistem operasi ini.

macOS Catalina juga menyokong pakej langganan permainan iaitu Apple Arcade dan terdapat permainan yang dibangunkan khas untuk komputer Mac dan juga versi kecil daripada iOS. Dengan ini, telah melengkapkan ketersediaan servis Apple Arcade pada kesemua sistem operasi di bawah Apple. Sebelum ini, pengguna iOS, iPadOS dan tvOS sudah pun boleh melanggan dan memainkan permainan yang terdapat di dalam servis Apple Arcade ini.

Apple Arcade ialah berharga sebanyak RM19.90 sebulan. Anda akan diberi tempoh percubaan percuma selama sebulan selepas langganan dibuat. Anda boleh bermain permainan yang ditawarkan pada kesemua produk Apple yang anda miliki dengan tanpa had, tanpa sekatan, tanpa iklan dan tanpa pembelian dalam aplikasi serta boleh dimain secara di luar talian termasuklah boleh dibatalkan pada bila-bila masa sahaja.

Langganan servis ini juga boleh berkongsi sehingga 5 orang menggunakan Family Sharing tetapi hanya terhad kepada satu penebusan sahaja bagi setiap kumpulan.

Haziq Harun

Artikel ini saya tulis. Saya menulis artikel ini. Artikel ini ditulis oleh saya.

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen