Berita iOS

Apple Merancang Untuk Membuka Sokongan Integrasi Siri Pada Aplikasi Permesejan Pihak Ketiga


Apple menerusi kenyataan rasmi kepada Bloomberg telah menyatakan bahawa, Siri iaitu sistem pembantu maya akan dibuka dan disokong pada aplikasi pihak ketiga selepas ini. Proses ini akan melibatkan kemas kini iOS yang dijangka dan bakal dikeluarkan pada tahun ini. Dengan ini, aplikasi permesejan dan termasuklah aplikasi telefon pihak ketiga seperti WhatsApp, Telegram, Facebook Messenger, Skype, Viber akan boleh dipilih sebagai aplikasi utama apabila menggunakan Siri.

Buat masa ini, Siri hanya terhad kepada aplikasi dan sistem Apple sahaja. Jika pengguna meminta Siri untuk menghantar sebuah mesej, Siri akan membuka aplikasi Message dan bukan aplikasi permesejan yang lain. Oleh itu, pengguna perlu menyatakan secara spesifik aplikasi mana yang ingin digunakan apabila menggunakan Siri.

Dengan integrasi ini, pengguna tidak perlu lagi membuat sebegitu. Namun, semuanya bergantung kepada kekerapan, interaksi kenalan, perbualan oleh pengguna pada aplikasi pihak ketiga yang digunakan. Tiada tetapan yang boleh dipilih bagi menetapkan aplikasi yang mana untuk diutamakan penggunaannya. Semuanya akan dipilih oleh Siri sendiri.

Tiada maklumat atau tarikh yang ditetapkan untuk kemas kini yang mempunyai ciri ini bakal dikeluarkan. Setakat ini, Apple telah mengeluarkan sebanyak empat kemas kini yang masing-masingnya ialah, iOS 13.0, iOS 13.1, iOS 13.1.1 dan iOS 13.1.2. Manakala, iOS 13.2 pula dikeluarkan pada hari ini untuk peringkat beta.

Sumber artikel: Bloomberg menerusi MacRumors


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen