App Store

Cawangan Apple Store Kedua Di Singapura Bakal Dibuka Pada Khamis Ini

Apple hari ini telah memberi pratonton bagi cawangan Apple Store yang kedua untuk negara Singapura. Apple Store ini dikenali sebagai Apple Marina Bay Sands juga merupakan cawangan Apple Store yang keempat selepas cawangan yang ketiga dibuka secara rasmi di Ratchaprasong, Bangkok, Thailand pada bulan Julai lepas.

Apple Marina Bay Sands ini merupakan Apple Store yang pertama terletak secara terapung di atas permukaan air dengan lokasi yang ikonik. Mempunyai bentuk sfera seperti kubah dengan dinding kaca, ia memberikan pemandangan panorama 360-darjah yang meliputi kawasan bandar dan bangunan disekelilingnya. Ia juga turut dilengkapi dengan binaan pelindung cahaya bagi mengurangkan pencahayaan matahari ke dalamnya.

Pada aras atas terdapat susunan meja untuk paparan peranti termasuklah skrin mega yang dinamakan sebagai The Forum. Ini adalah untuk sesi Today At Apple yang bakal mengundang para karyawan tempatan bagi acara yang dijalankan.

Pada aras bawah pula, pengguna boleh meneroka untuk pembelian barang aksesori dan juga layanan khas oleh Genius bagi permasalahan teknikal yang dihadapi. Para pembangun dan usahawan yang ingin berminat untuk menerima latihan dan nasihat boleh berjumpa dengan staf Apple di bilik mesyuarat bawah air yang teletak pada aras bawah sekali.

Apple Marina Bay Sands ini menempatkan sebanyak 148 staf dengan kebolehan untuk bertutur sebanyak 23 bahasa bagi memudahkan pengguna untuk berurusan.

Bagi yang berkesempatan, pembukaan pada Khamis ini hanya dibuka kepada jemputan temu janji sahaja. Yang ingin mendapatkan slot, anda perlu mendaftarkan di laman web apple.com/sg/marinabaysands dan memilih waktu yang sesuai dengan anda.

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen