watchOS

watchOS 7 Membawakan Ciri Sokongan Kekeluargaan Untuk Pengguna Apple Watch

Apple hari ini telah memperkenalkan ciri sokongan baharu yang bakal hadir pada sistem operasi watchOS 7. Pengguna yang memiliki Apple Watch Series 3 dan generasi seterusnya boleh membuat kemas kini pada keesokan harinya untuk menggunakan ciri dan fungsi baharu seperti di bawah ini.

Dalam watchOS 7, ciri Family Setup diperkenalkan bagi memudahkan pengguna Apple Watch berhubung dan berkomunikasi sesama ahli keluarga. Dengan Family Setup, pengguna yang tidak memiliki iPhone boleh mengaktifkan Apple Watch mereka menggunakan iPhone di kalangan ahli keluarga dan seterunya menggunakan ciri utama yang terdapat pada Apple Watch. Pengaktifan ini perlu menggunakan nombor telefon dengan pelan selular masing-masing dan akaun Apple ID tersendiri.

Para ibu bapa boleh mengawal pemasangan aplikasi dan kenalan yang dihubungi pada jam anak mereka. Selain itu, ibu bapa juga boleh menghantar wang menggunakan Apple Watch dengan ciri Apple Cash Family serta menerima sebarang notifikasi pembelian dan pembayaran yang telah dibuat. Lokasi si pemakai juga boleh dilihat pada aplikasi Find My oleh penjaga.

Bagi memastikan anak-anak untuk kekal aktif, aktiviti kecergasan yang terdapat dalam aplikasi Activity telah dioptimasikan untuk kanak-kanak. Aktiviti di luar seperti berjalan, berlari dan berbasikal telah disesuaikan untuk kanak-kanak dengan kredit minit, latihan, jarak, dan metrik lain yang bersesuaian.

Ciri keselamatan SOS juga telah ditambah baik dengan memudahkan ahli keluarga yang menggunakan ciri Family Setup untuk memberitahu sekiranya berlaku kecemasan kepada penjaga atau kenalan ahli keluarga yang lain. Penjaga juga boleh melihat senarai maklumat kesihatan dan aktiviti daripada aplikasi Health setelah diberi akses oleh pemakai yang di bawah jagaan mereka.

Khas bagi pengguna warga emas yang memiliki Apple Watch, ciri kesihatan dan keselamatan telah ditambah baik seperti ciri pengesanan jatuh dan pemberitahuan degupan jantung yang tidak stabil telah dioptimasikan untuk ketepatan maklumat si pemakai.

Pengguna perlu memiliki sekurang-kurangnya iPhone 6s dan generasi seterusnya bagi membolehkan untuk mengeset dan seterusnya membuat kemas kini Apple Watch masing-masing. Perlu diingatkan tidak kesemua ciri yang terdapat pada watchOS 7 ini tersedia untuk setiap generasi Apple Watch yang disokong.

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen