Acara Khas Apple iPad

iPad Mini Baharu Diperkenalkan – Hadir Dengan Skrin Lebih Besar Dan Bezel Nipis


Bersama-sama dengan model Apple iPad generasi kesembilan, Apple juga turut memperkenalkan model iPad mini generasi keenam kepada umum. Apple iPad mini kini hadir dengan rekaan serba baharu termasuklah paparan skrin hadapan yang lebih besar dan bezel yang lebih nipis.

Sama seperti rekaan iPad Air dan iPad Pro, rekaan kelompang luaran iPad mini baharu ini mempunyai permukaan rata pada keseluruhan bahagian sisi termasuklah pada bahagian belakang. Paparan skrin iPad mini ini ialah bersaiz 8.3-inci Liquid Retina dengan kecerahan 500 nits, True Tone dan salutan anti-reflektif.

Bagi tujuan keselamatan, sistem pengimbas cap jari Touch ID masih dikekalkan tetapi dipindahkan dan diintegrasikan dengan butang kuasa pada bahagian atas sama seperti model iPad Air. Sokongan Apple Pencil generasi kedua juga boleh digunakan pada iPad mini ini akan tetapi, butang penyelaras kelantangan dipindahkan pada bahagian atas sebaris dengan butang kuasa.

Cip pemprosesan A15 Bionic pada iPad mini baharu ini menawarkan 40% lebih kuasa CPU, 80% kuasa GPU dan 2 kali ganda kuasa pembelajaran mesin yang lebih pantas. Buat pertama kalinya, penggunaan port pengecas USB-C kini mula digunakan termasuklah menyokong pengecasan pantas 20W dan kelajuan sehingga 5Gbps untuk pemindahan data. Walaupun bersaiz kecil, iPad mini kini menyokong rangkaian 5G dengan kebolehan untuk mencapai kelajuan sehingga 3.5Gbps termasuklah sokongan Gigabit LTE dan eSIM.

Kamera hadapan pula dikemas kini dengan kamera 12 megapiksel yang menyokong ciri Center Stage. Dengan ciri ini, pergerakan individu akan diikuti secara automatik mahupun secara berkumpulan ketika membuat panggilan video. Kamera utama 12 megapiksel juga dikemas kini dengan ciri Focus Pixels untuk membolehkan menangkap gambar yang berkualiti tinggi.

Bagi yang berminat, iPad mini baharu ini dijual bermula dari RM2,299 untuk versi Wi-Fi pada storan 64GB. Versi selular dengan storan 64GB pula dijual pada harga RM2,949. Pengguna boleh memilih storan sehingga 256GB dengan lima pilihan warna iaitu space grey, ungu, starlight dan merah jambu.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen