Selain daripada peranti realiti terimbuh, barisan iPad dan komputer Mac baharu pada tahun hadapan, penganalisis Mac Gurman juga telah menyatakan beberapa maklumat mengenai peranti boleh pakai Apple iaitu model Apple Watch yang akan diperkenalkan pada 2022 kelak.
Menurut beliau, bersama-sama dengan Apple Watch Series 8, Apple juga turut merancang untuk mengemas kini Apple Watch SE iaitu model aras permulaan bagi Apple Watch. Ini kerana, model ini sudah setahun tidak dikemas kini dan tahun hadapan adalah masa yang terbaik. Apple Watch SE mula diperkenalkan pada bulan September 2020 dengan rekaan yang sama seperti siri Series 6 tetapi tidak mempunyai ciri seperti skrin sentiasa menyala, sensor oksigen dalam darah dan ECG.
Pada masa yang sama, Apple juga dilapor akan memperkenalkan model Apple Watch baharu yang memfokuskan kepada para atlet. Menurut beliau, rekaan Apple Watch edisi tahan lasak ini akan menggunakan rekaan kerangka yang lebih kukuh bagi menahan kesan calar, terjatuh, tergesel dan sebagainya.
Buat masa ini, Apple bekerjasama dengan Nike untuk Apple Watch Nike bagi yang aktif dalam bidang sukan. Namun, ia masih menggunakan bahan aluminium sama seperti Apple Watch Sport yang mudah terhakis sekiranya si pemakai menghidapi penyakit hiperhidrosis, iaitu penyakit kuat berpeluh.
Kebiasaannya, model Apple Watch akan dilancarkan pada bulan September bersama-sama dengan model iPhone yang baharu.
Beliau juga turut menyatakan Apple bakal memperkenalkan iPhone SE dengan 5G dan model AirPods Pro yang baharu termasuklah siri model iPhone 14.
Tambah Komen