Penganalisis Ming-Chi Kuo hari ini telah melaporkan mengenai siri barisan model Apple Watch yang bakal dilancarkan pada tahun hadapan. Beliau sebelum ini telah melaporkan mengenai peranti realiti terimbuh buatan Apple, AirPods Pro generasi kedua dan siri model iPhone SE yang akan dilancarkan pada tahun hadapan.
Menurut beliau, barisan Apple Watch tahun hadapan akan dibarisi dengan model Apple Watch Series 8, Apple Watch SE generasi kedua dan versi ‘tahan lasak’ yang baharu. Sebelum ini, penganalisis Mark Gurman juga menyatakan perkara yang sama mengenai ketiga-tiga siri model Apple Watch ini.
Berdasarkan laporan sebelum ini, model Apple Watch edisi tahan lasak ini akan memfokuskan kepada para atlet. Rekaan Apple Watch edisi tahan lasak ini juga akan menggunakan rekaan kerangka yang lebih kukuh bagi menahan kesan calar, terjatuh, tergesel dan sebagainya.
Buat masa ini, Apple bekerjasama dengan Nike untuk Apple Watch Nike bagi yang aktif dalam bidang sukan. Namun, ia masih menggunakan bahan aluminium sama seperti Apple Watch Sport yang mudah terhakis sekiranya si pemakai menghidapi penyakit hiperhidrosis, iaitu penyakit kuat berpeluh.
Tidak dipastikan samada jenis bahan apa yang bakal Apple gunakan. Di Malaysia hanya dua model sahaja yang dijual iaitu dengan bahan aluminium dan keluli tahan karat. Bagi model titanium tidak dijual secara rasmi di Malaysia.
Sumber artikel: MacRumors
Tambah Komen