Bagaimana untuk mengetahui iPhone anda iPhone refurbished atau bukan? Bagaimana untuk bandingkan iPhone refurbished dengan bukan refurbished?
Jika anda rujuk artikel –> Panduan Membeli iPhone (Original/Baru/Second Hand/Refurbished/Import/Replacement) , ada menerangkan cara untuk membezakan pelbagai ‘jenis’ iPhone termasuklah iPhone refurbished.
Untuk artikel kali ini, saya akan memfokuskan hanya untuk mengenali iPhone refurbished. Menurut Kamus Inggeris-Melayu Dewan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, refurbished berasal dari kata dasar furbish, yang membawa dua terjemahan asas; 1. gilap, 2. perbaharui. Partikel re dihadapan perkataan membawa maksud sekali lagi dan eddi belakang merujuk kepada perkara itu telah berlaku. Jadi refurbished membawa terjemahan “telah perbaharui sekali lagi” atau dipendekkan menjadi diperbaharui. Jadi iPhone refurbished ialah iPhone terpakai yang telah diperbaharui. Apabila saya mengatakan iPhone terpakai, bermakna, sudah ada orang lain yang menggunakan iPhone tersebut sebelum ini. Dan, tempoh jaminan asal dari Apple sudah pun diaktifkan ataupun telah tamat.
iPhone refurbished boleh dibahagikan kepada dua iaitu:-
- yang dikeluarkan/dijual oleh Apple
- yang dikeluarkan/dijual oleh pihak ketiga
Apple menjual iPhone refurbished di sebahagian Apple Store di Amerika Syarikat, United Kingdom dan di atas talian. Mereka meletakkannya di bahagian yang dinamakan sebagai Refurb Section. Nama model atau Part No bermula dengan huruf F. Kotak yang digunakan berwarna putih dan ada tertera Apple Certified Refurbished pada kotak. Tempoh jaminan juga diberikan 1 tahun daripada Apple. Anda boleh memeriksa tempoh jaminan di https://checkcoverage.apple.com
iPhone refurbished oleh pihak ketiga lazimnya tidak didaftarkan. Pihak yang ‘mengeluarkan’ / memperbaharui semula iPhone ini tidak pernah mengeluarkan satu laman yang mana pengguna boleh memeriksa sama ada ianya refurbished atau tidak. Komponen yang digantikan mungkin tidak original seperti kerangka badan iPhone, skrin, bateri, butang utama dan sebagainya. Ada banyak syarikat yang mengeluarkannya dan pada masa yang sama ada yang memberikan jaminan 1 tahun hingga 2 tahun.
Sebagai contoh, syarikat yang popular ialah Asurion. Di Malaysia, kebanyakan iPhone refurbished dijual secara atas talian. Ada juga syarikat AAR seperti Machines, Switch, Epicentre yang menjual iPhone refurbished. Jaminan yang diberikan sudah tentu dari mereka, dan bukan dari Apple. Tempoh jaminan sangat berbeza-beza. Ada yang 3 bulan, 6 bulan, 12 bulan, 24 bulan. Kalau yang 12 bulan / 24 bulan tu, 3 bulan pertama je jaminan untuk LCD dan sebagainya.
Lazimnya ia masih mengekalkan kotak seperti bentuk asal, dan mungkin menukar segala aksesori yang ada kepada aksesori yang tidak original. Kebanyakan penjual cuba mengelirukan pembeli dengan menyatakan ianya set IMPORT baharu. Untuk set baharu, tempoh jaminan haruslah belum aktif. Jika sudah aktif, ia bukan lagi set baharu.
Jika anda ingin membeli iPhone terpakai, amat sukar untuk mengetahui sama ada ianya refurbished atau tidak kerana tiada kayu ukur atau ‘benchmark’ atau standard yang ditetapkan untuk mengetahui sama ada ianya refurbished atau tidak. Melainkan anda nak bandingkan segala komponen dalaman dan luaran iPhone anda dengan iPhone yang original.
Contoh situasi, dibawah ini ialah dua jenis pengguna yang ingin menjual iPhone
1. Pengguna pertama sebuah iPhone set Malaysia, menukar ‘housing’ iPhone nya kepada yang baru. Housing itu ialah warna yang sama dan dicetak IMEI dan maklumat yang sama seperti asal. Dia juga menukar bateri biasa, LCD skrin dan butang utama dengan menggunakan khidmat juruteknik iPhone.
2. Pengguna iPhone refurbished dari pihak ketiga, belum pernah tukar apa-apa komponen lain.
Jika pengguna nombor satu itu jujur, dia akan menceritakan semua komponen yang pernah ditukar kepada bakal pembeli. Jika pengguna nombor dua itu jujur, dia akan menceritakan bahawa iPhone itu memang set refurbished. Jika anda merupakan pembeli iPhone terpakai, amat sukar untuk menilai sekiranya iPhone itu refurbished ataupun tidak jika penjual tidak menerangkan secara jujur kepada anda. Melainkan anda nak bandingkan satu per satu komponen iPhone anda dengan iPhone original lain.
Tambah Komen