Servis penstriman Twitch pada hari ini telah mengumumkan sokongan perkongsian tontonan media iaitu SharePlay yang diperkenalkan pada iOS 15. Dengan ciri SharePlay ini, pengguna iPhone dan iPad boleh menonton tayangan Twitch bersama rakan dan ahli keluarga melalui FaceTime.
Untuk menggunakan ciri ini, pengguna perlu memulakan panggilan FaceTime bersama penguna lain dan kemudiannya membuka aplikasi Twitch bagi memilih tayangan yang ingin ditonton. FaceTime akan bertanyakan jika pengguna mahu berkongsikan tayangan kepada pengguna lain dalam panggilan tersebut. Jika ya, Twitch akan memainkan tayangan tersebut pada peranti pengguna lain.
Kesemua pengguna perlu mempunyai aplikasi Twitch pada peranti masing-masing dan juga mempunyai akaun Twitch yang telah dilog masuk. Tayangan akan dimulakan secara serentak pada suatu masa dan kesemuanya boleh mengawal untuk memainkan kembali atau menjedakan tayangan bagi semua yang terdapat dalam panggilan FaceTime itu. Ini juga termasuklah kawalan untuk melihat tayangan pada saluran lain.
Perbualan, ikuti dan langganan saluran Twitch juga boleh dilakukan mengikut akaun masing-masing ketika perkongsian tayangan ditonton bersama. Buat masa ini, hanya peranti yang menggunakan iOS 15.1 dan iPadOS 15.1 sahaya yang boleh menggunakan ciri ini.
Tambah Komen