Setiap tahun, Apple akan memperkenalkan kemaskini bagi setiap sistem operasi untuk setiap model peranti yang dijual. Pada peringkat awal, sebuah sistem operasi sememangnya tidak akan stabil tanpa ujikaji dan penggunaan oleh pengguna sendiri. Setelah stabil, ia akan dilancarkan secara rasmi bersama peranti yang baharu.
Apa yang saya jelaskan ialah, setiap tahun juga akan ada pengguna yang ingin mahu menjadi pengguna ‘terawal’ untuk menggunakan sistem operasi tersebut iaitu iOS yang saya ingin tekankan dalam artikel ini.
Bagi iOS 13, ia akan dilancarkan dan dilepaskan secara rasmi pada bulan September ini bersama-sama iPhone XI (11) yang baharu. Bermula hari ini, akan ada tutorial yang akan muncul dalam bentuk entri mahupun bebenang di Twitter untuk mengemaskini iOS 13. iOS 13 ini tidak sama seperti yang bakal dilepaskan pada bulan September tersebut.
Apple akan melepaskan versi beta awal khas untuk pembangun aplikasi selepas setiap WWDC berlangsung. Ini adalah untuk membolehkan para pembangun membuat percubaan untuk aplikasi mereka pada sistem operasi tersebut. Tanpa percubaan tersebut, aplikasi mereka tidak akan boleh berfungsi sepenuhnya dan stabil apabila iOS baharu dilancarkan.
Pada masa yang sama, peranti yang menggunakan versi beta ini juga tidak akan stabil akibat mempunyai banyak pepijat. Tidak stabil dari segi macam mana? Penggunaan bateri akan cepat habis, perubahan animasi seperti membuka dan menutup aplikasi, peranti dihidupkan semula secara automatik tanpa interaksi pengguna dan banyak lagi.
Yang paling penting ialah, hampir kesemua aplikasi yang sedia ada dalam iPhone anda sekarang ini tidak akan berfungsi sepenuhnya dengan stabil atau tidak boleh digunakan langsung. Ini kerana aplikasi tersebut masih belum menyokong dan dikemaskini untuk sistem operasi yang belum dilancarkan lagi.
Menjadi yang terawal tidaklah menyeronokkan. Penggunaan beta ini juga memerlukan anda untuk memuat turun dan mengemaskini peranti pada setiap kali kemaskini beta dikeluarkan. Ini adalah untuk memastikan kestabilan sistem operasi tersebut pada setiap peranti yang disokong.
Kemaskini iOS beta boleh dikeluarkan sehingga 12 versi dan setiap saiz versi boleh menjangkau sehingga 2 gigabait dan sudah semestinya memerlukan sambungan Wi-Fi untuk perkemaskinian. Walaupun ada peranti yang sama menggunakan iOS 13 dan tidak mempunyai masalah, tidak bermaksud peranti anda akan stabil.
Ini kerana, setiap aspek perlu diambil kira seperti jangka hayat (peratusan) bateri dan peranti, penggunaan harian, waktu mengecas, dan sebagainya tidak akan sama dipraktikkan oleh setiap pemilik serta peranti.
Bagi pengguna yang tidak boleh menahan nafsu dan teramat inginkan mengguna iOS 13 ini, anda disarankan untuk menunggu sedikit masa lagi bagi versi program publik beta dikeluarkan. Menurut Apple, versi publik beta akan dikeluarkan pada bulan 7 ini.
Jangan risau, tutorial akan disediakan bagi yang ingin menggunakannya. Bagi yang hati keras, saya tidak menghalang anda untuk mengemaskini dan segala masalah sila hadapi dengan tabah. Sila pastikan membuat simpanan data terlebih dahulu sebelum membuat kemaskini dan bukan digunakan pada peranti utama (dan satu-satunya) milik anda.
Sebagai contoh, anda mempunyai satu sahaja peranti iaitu iPhone X dan telah mengemaskini ke iOS 13. Sekiranya terjadi satu masalah yang tidak membolehkan iPhone diakses (seperti tersekat pada logo Apple) dan anda menghantar ke pihak Apple Authorized Premium Reseller, polisi mereka ialah tidak membuat sebarang simpanan data dan akan terus memasang sistem operasi yang stabil setakat ini (iOS 12).
Data-data peribadi anda akan hilang seperti debu setelah Thanos memetik jari beliau. Saya bukan nak menakut-nakutkan, ini terpulang pada diri anda sendiri samada mahu buat atau tidak. Saya hanya sekadar memberi peringatan. Risiko di tangan anda.
Tambah Komen