Sistem operasi mudah alih milik Apple kini telah dikemas kini dengan iOS 13 yang diperkenalkan secara rasmi pada acara khas Apple, WWDC 2019 yang berlangsung pada hari ini. iOS 13 secara khususnya membawakan ciri dan fungsi baharu untuk iPhone yang berikut.
iOS 13 disokong pada hampir kesemua peranti yang menyokong iOS 12 sebelum ini, namun Apple juga menghadkan beberapa peranti untuk penggunaannya. Peranti tersebut ialah iPhone 5s, iPhone 6, iPhone 6 Plus, dan iPod touch generasi ke-6 tidak disokong dan tidak boleh dikemas kini ke iOS 13.
Sewaktu WWDC 2019, Apple telah membentangkan beberapa ciri utama yang telah menjadi sebutan oleh pengguna iPhone. Mod tema gelap yang sememangnya ditunggu-tunggukan, kini telah disertakan dalam iOS 13. Bagi peranti iPhone yang menggunakan paparan skrin OLED, ciri ini akan memberikan paparan ‘True Black’ untuk penjimatan bateri.
Mod tema gelap ini tidaklah diterapkan sepenuhnya dalam iOS 13. Seperti contoh pada halaman utama, hanya perubahan warna kelabu pada bahagian ‘dock’ dan untuk warna yang gelap, ia lebih diterapkan pada bahagian dalaman aplikasi.
Selain itu, terdapat juga beberapa penambahbaikan pada aplikasi Photos untuk proses penyuntingan media dengan lebih mudah dan proaktif. Apple juga turut mengemaskini aplikasi Maps dengan perubahan antaramuka peta baharu serta ciri berguna yang lain.
iOS 13 juga membawakan ciri pelekat Memoji dan Animoji yang berasaskan Emoji sedia ada yang telah dihasilkan. Kesemua peranti iOS termasuklah yang tidak mempunyai Face ID boleh menggunakan pelakat yang dihasilkan pada peranti lain dan boleh digunakan pada aplikasi pihak ketiga.
Pengalaman menaip juga telah ditambah baik dengan ciri QuickPath yang membolehkan huruf dan perkataan ditaip dengan menggunakan seretan jari pada papan kekunci.
Perubahan yang paling ketara ialah antaramuka kawalan kelantangan bunyi tidak lagi mengganggu paparan skrin seperti pada versi iOS yang 11 tahun sebelum ini.
Dari segi prestasi, pelancaran pembukaan aplikasi akan lebih pantas sebanyak dua kali serta 30 peratus pantas bagi proses nyahkunci Face ID. Saiz muat turun aplikasi juga akan lebih kecil iaitu sebanyak 50 peratus dan sebanyak 60 peratus untuk saiz kemas kini.
Aplikasi Mail, Reminders, Notes, Health, Safari, Files juga masing-masing dikemaskini dengan ciri serta fungsi baharu. Ciri Accessibility kini hadir dengan penggunaan suara bagi penggunaan navigasi untuk orang kurang upaya. Terdapat juga beberapa ciri yang dikemaskini seperti CarPlay, penggunaan bahasa, Screen Time dan banyak lagi yang terdapat dalam iOS 13 ini.
iOS 13 akan boleh dikemaskini dengan secara rasminya pada bulan September ini dan bagi peringkat awal, versi beta akan dikeluarkan untuk pembangun aplikasi dan pengguna umum. Maklumat lanjut boleh di baca pada artikel ini.
Tambah Komen