Info iPhone

Peleraian iPhone 11 Pro Max Oleh iFixit Memperlihatkan Komponen Pengecasan Nirwayar Dua Hala


iFixit pada hari ini telah melakukan peleraian iPhone 11 Pro Max secara langsung dan turut memberikan proses yang lengkap dan tepat pada laman web mereka. Hasil peleraian tersebut mendapati terdapat beberapa komponan bagi ciri pengecasan nirwayar dua hala yang dilaporkan akan diperkenal sewaktu pelancaran iPhone lepas.

iFixit telah menjumpai dua komponen sambungan bateri pada iPhone baharu ini. Menurut mereka, komponen tersebut disambungkan kepada gegelung pengecasan nirwayar. Selain itu, terdapat juga papan induk baharu yang berada di bahagian bawah bateri berhampiran port pengecas. Pengecasan nirwayar dua hala ini akan membolehkan untuk mengecas peranti seperti Apple AirPods, Apple Watch dan juga iPhone secara nirwayar.

Jika ini adalah betul, Apple mungkin akan mengaktifkan ciri ini melalui kemas kini iOS. Namun, tidak dipastikan dan tiada jaminan untuk ciri ini diaktifkan jika tidak memenuhi piawai dan prosedur oleh Apple. Di samping itu, peleraian tersebut juga memperlihatkan rekaan bertingkat bagi papan induk baharu yang lebih kecil dan lebih mampat. Bateri juga lebih besar dan tebal berbanding bateri iPhone XS Max.

Keputusan peleraian iPhone 11 Pro Max ini mendapat markah pembaikan sebanyak 6 daripada 10. Anda boleh membaca rangkuman peleraian ini di bawah untuk maklumat lebih lanjut.

Sumber: iFixit


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen