Khabar Angin

Kuo: iPad Dan MacBook Dengan Teknologi Paparan Mini-LED Akan Dilancarkan Antara Akhir 2020 Dan Pertengahan 2021


Penganalisis terkemuka dan terkenal iaitu Ming-Chi Kuo telah berkongsikan kenyataan baharu mengenai produk Apple yang akan datang. Menurut beliau, Apple merancang untuk melancarkan produk premium bagi iPad dan MacBook dengan penggunaan teknologi paparan Mini-LED antara akhir tahun 2020 dan pertengahan tahun 2021. Perancangan Apple tersebut ialah dijangka di antara suku keempat 2020 dan suku pertama 2021 untuk iPad manakala suku pertama dan kedua 2021 untuk MacBook yang baharu.

Berdasarkan nota yang dikeluarkan oleh TF International Securities menerusi MacRumors, Kuo berkata setiap paparan iPad dan MacBook premium akan menggunakan sekurang-kurangnya 10,000 LED berbanding jumlah 576 LED yang terdapat pada paparan panel skrin Pro Display XDR. Menurut beliau, setiap LED bersaiz kecil sehingga bawah daripada 200 micron, jauh lebih kecil daripada yang digunakan pada panel skrin Pro Display XDR.

Kuo sebelum ini ada menyatakan peranti seperti iPad dan komputer MacBook yang masing-masingnya akan mempunyai variasi skrin bersaiz 10-12 inci dan 15-17 inci. Beliau juga menjangkakan penggunaan teknologi paparan Mini-LED ini akan digunakan pada produk premium bagi kedua-dua peranti dan komputer tersebut. Namun, beliau tidak menyatakan samada ia adalah iPad Pro atau pun MacBook Pro.

Penggunaan teknologi paparan Mini-LED oleh Apple adalah untuk menghindarkan kesan cacat cela seperti yang terdapat pada panel OLED. Kuo juga berkata, penggunaan ini adalah untuk mengelakkan daripada kebergantungan terhadap Samsung bagi menghasilkan panel OLED kepada Apple. Menurut beliau lagi, syarikat LG Display akan membekal dan menghasilkan panel paparan Mini-LED kepada Apple untuk masa akan datang.

Beliau mempercayai dengan paparan Mini-LED ini akan menghasilkan produk yang lebih nipis dan ringan. Ini termasuklah prestasi gamut warna yang baik, kontras tinggi dan HDR, serta mengekalkan kecerahan skrin apabila memaparkan bahagian yang berwarna hitam. 

Sumber artikel: MacRumors


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen