Khabar Angin

‘iPhone SE 2’ Dijangka Akan Diperkenalkan Pada Awal 2020 Dengan Rekaan Seperti iPhone 8 Dan Cip A13

Apple dijangka akan memperkenalkan model iPhone yang baharu iaitu ‘iPhone SE 2’ pada awal tahun 2020 hadapan. Menurut penganalisis terkenal Ming-Chi Kuo, iPhone SE 2 ini adalah sebagai model asas dan permulaan kepada model-model premium yang dijual di pasaran sekarang ini.

iPhone SE 2 dijangka akan mempunyai rekaan seperti iPhone 8 yang dikuasakan dengan cip pemprosesan yang baharu dan terpantas iaitu Apple A13 serta turut dilengkapi dengan 3GB RAM. Kuo mempercayai, iPhone SE 2 ini akan menjadi pilihan utama pengguna untuk menaik taraf kepada model iPhone yang baharu. iPhone 6 dan iPhone 6 Plus tidak boleh dikemas kini kepada iOS 13,  yang kini dianggarkan mempunyai sehingga 100 juta pemilik bakal menjadi faktor utama kepada pembelian iPhone SE 2 ini.

Beliau juga menganggarkan penjualan iPhone SE 2 ini bakal mencecah sehingga 30 hingga 40 juta unit sepanjang tahun 2020. Sistem pengesahan biometrik cap jari iaitu Touch ID dijangka akan dikekalkan dan terdapat satu kamera pada bahagian belakang termasuklah skrin bersaiz 4.7-inci.

Jika Apple benar memperkenalkan iPhone baharu ini, penjualan model iPhone 8 dan iPhone 8 Plus akan terus dihentikan serta merta. Bagi pengguna yang ingin merancang untuk menaik taraf peranti iPhone yang digunakan, anda disaran untuk menunggu model baharu ini diperkenalkan. iPhone SE generasi pertama sebelum ini diperkenalkan pada bulan Mac tahun 2016.

Sumber artikel: MacRumors

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen