Berita iPhone

Apple Memperkenalkan iPhone SE Baharu Dengan Cip A13 Bionic, Mengekalkan Rekaan iPhone 8


Dengan khabar angin yang diuar-uarkan sebelum ini, Apple hari ini dengan secara rasminya telah memperkenalkan model iPhone SE yang baharu kepada umum. iPhone SE generasi kedua ini masih mengekalkan rekaan seperti iPhone 8 yang dilancarkan sebelum ini tetapi dengan penambahbaikan dari segi spesifikasi dalaman setanding dengan model andalan iPhone yang terkini.

Sama seperti iPhone 8, iPhone SE baharu ini masih mengekalkan rekaan dengan kerangka yang menggunakan bahan berasaskan aluminium dan kaca pada bahagian belakang. Pada bahagian hadapan, sistem pengimbas sekuriti cap jari Touch ID berasaskan sentuhan haptik dikekalkan termasuklah skrin LCD Retina Display yang bersaiz 4.7-inci.

Penambahbaikan yang telah dilakukan ialah penjanaan oleh cip A13 Bionic. Menurut Apple, penggunaan cip ini menawarkan penggunaan bateri yang lebih lama termasuklah pengurusan sistem yang lebih efisien dan efektif. Kamera utama ialah 12-megapiksel f/1.8 dengan sokongan rakaman video berresolusi  4k sehingga 60fps manakala kamera hadapan pula ialah 7-megapiksel f/2.2.

iPhone SE yang baharu ini ditawarkan dengan tiga pilihan warna iatu hitam, putih dan merah untuk edisi (PRODUCT)RED. Pengguna boleh memilih storan bermula dari 64GB pada harga RM1999 sehingga RM2699 bagi storan 256GB.

Sumber: Apple