Acara Khas Apple Mac

Apple iMac Diperkenalkan Dengan Rekaan Baharu Dan Dijana Oleh Cip M1


Selain daripada produk tablet, Apple hari ini juga telah mengemas kini siri komputer iMac mereka kepada umum. Berbanding dengan model Intel sebelum ini, Apple iMac kini dikuasakan dengan cip Apple M1 yang juga turut menerima rekaan yang baharu dengan lebih nipis dan berwarna-warni.

Dengan penjanaan oleh cip M1, Apple iMac baharu ini akan lebih senyap dan sejuk, ini juga selaras dengan garis masa Apple ke arah penggunaan komputer yang berasaskan cip pemprosesan buatan mereka. Buat masa ini, Apple iMac ditawarkan dengan model yang mempunyai panel skrin bersaiz 24-inci pada resolusi 4.5K. Selain itu, kamera hadapan juga dikemas kini yang membolehkan panggilan video 1080p dibuat.

Buat pertama kali juga, sistem pengimbas cap jari Touch ID kini hadir untuk Apple iMac. Dengan ini membolehkan ia dikunci dan dibuka dengan lebih pantas tanpa perlu menggunakan bantuan Apple Watch mahupun memasukkan kata laluan. Setiap pakej Apple iMac akan mempunyai tetikus dan papan kekunci mengikut warna yang dipilih.

Bagi yang berminat, Apple iMac dengan GPU 7-teras ditawarkan pada harga RM5599 yang hadir dengan cip M1 8-teras, 8GB RAM, storan 256GB SSD dan dua port Thunderbolt. Bagi model ini, Magic Keyboard yang biasa sahaja diberikan termasuklah Magic Mouse.

Untuk Apple iMac dengan GPU 8-teras pula ditawarkan pada harga RM6449 yang hadir bersama cip M1 8-teras, 8GB RAM, storan 256GB SSD, dua port Thunderbolt, dua port USB 3, Magic Keyboard dengan Touch ID, Magic Mouse dan port Ethernet pada bahagian pengecas bekalan kuasa.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen