Acara Khas Apple Apple TV

Apple Memperkenalkan Apple TV 4K Yang Baharu – Hadir Dengan Alat Kawalan Jauh Siri


Dalam acara khas Apple ‘Spring Loaded’ yang berlangsung pada hari ini, Apple telah mengumumkan kemas kini bagi Apple TV 4K yang baharu. Apple TV 4K generasi baharu ini masih mengekalkan rekaan yang lama tetapi dikuasakan dengan cip A12 Bionic yang memberikan penambahbaikan grafik, penyahkodan video dan pemprosesan audio.

Hadir dengan alat kawalan jauh serba baharu yang dilengkapi dengan Siri memudahkan pengguna untuk mengawal mahupun menggunakan Apple TV untuk navigasi yang lebih produktif. Penggunaan cip A12 Bionic ini membolehkan Apple TV 4K kini menyokong video HDR dan Dolby Vision yang membolehkan untuk tontonan 60fps dengan lebih lancar.

Bagi meningkatkan lagi kualiti dan pengalaman tontotan, iPhone kini boleh digunakan untuk menambah baik kualiti gambar televisyen yang digunakan. Apple TV menggunakan sensor cahaya daripada iPhone untuk mengimbas imbangan warna mengikut spesifikasi yang tertinggi. Dengan data ini, Apple TV boleh memaparkan video yang berkualiti dengan warna yang lebih tepat tanpa perlu mengubah tetapan televisyen.

Alat kawalan jauh yang baharu telah dikemas kini dengan rekaan baharu yang lebih tebal dan tidak menggunakan bahan kaca. Bahagian kelompang dan luaran ialah berasaskan bahan aluminium dan lebih tebal untuk genggaman yang selesa serta tidak mudah tergelincir. Pada bahagian butang pula dilengkapi dengan ‘clickwheel’ yang dipinjam daripada model iPod sebelum ini bagi memudahkan navigasi penggunaan Apple TV.

Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkan Apple TV 4k baharu ini pada harga RM849 untuk storan 32GB dan RM949 untuk storan 64GB.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen