Acara Khas Apple iPad

Apple Memperkenalkan Siri Model iPad Pro Baharu Dikuasakan Dengan Cip M1


Bersama-sama dengan produk yang diperkenalkan pada acara khas hari ini, Apple juga turut memperkenalkan siri model iPad Pro yang baharu kepada umum. Kedua-dua model iPad Pro dengan skrin bersaiz 11-inci dan 12.9-inci kini dikuasakan dengan cip pemprosesan buatan Apple sendiri iaitu M1.

Sebelum ini, cip M1 mula diperkenalkan untuk siri komputer MacBook Air dan MacBook Pro dan kini hadir untuk siri model iPad Pro. iPad Pro baharu ini masih mengekalkan rekaan dan bentuk yang sama seperti sebelum ini cuma terdapat beberapa perubahan dari segi spesifikasi dalaman dan juga luaran.

Menurut Apple, panel skrin untuk iPad Pro 12.9-inci kini dilengkapi dengan Mini-LED yang dipanggil sebagai Liquid Retina XDR. Untuk model 11-inci pula, ia masih menggunakan panel skrin LCD seperti model sebelum ini. Kedua-dua model juga menyokong teknologi rangkaian 5G termasuklah sokongan Thunderbolt pada sambungan USB 4.0 yang membolehkan untuk menyambung aksesori seperti storan mahupun skrin monitor yang berresolusi tinggi.

Untuk bahagian kamera pula, sistem TrueDepth kini mempunyai kamera 12 megapiksel Ultra Wide yang membolehkan ciri baharu dinamakan sebagai ‘Center Stage’. Dengan ciri ini, sistem kamera pada iPad Pro akan memfokuskan kepada pergerakan individu termasuklah secara meluas jika berkumpulan ketika membuat panggilan video.

Harga rasmi bagi kedua-dua siri model iPad Pro ini ialah bermula dari RM3,499 untuk versi WiFi dan RM4,149 untuk versi selular bagi model 11-inci. Bagi iPad Pro 12.9-inci pula akan ditawarkan pada harga bermula RM4799 untuk versi WiFi, dan RM5449 untuk versi selular.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen