Acara Khas Apple iPhone

Apple Memperkenalkan iPhone 13 Mini dan iPhone 13 – Sokongan 5G, Cip A15 Dan Takuk Lebih Kecil


Selain daripada peranti boleh pakai dan tablet yang diperkenal dalam acara khas Apple hari ini, Apple juga telah memperkenalkan siri model iPhone 13 dengan empat variasi pilihan. Untuk permulaan, iPhone 13 mini dan iPhone 13 diperkenalkan terlebih dahulu sebagai versi berpatutan untuk siri model iPhone baharu ini.

Dari segi spesifikasi dalaman, kedua-dua model iPhone ini dikuasakan dengan cip A15 Bionic. Dengan cip ini, ia menawarkan sebanyak 50% kuasa CPU yang lebih pantas termasuklah GPU sebanyak 30% lebih pantas berbanding pesaing lain. Oleh itu, ketahanan bateri adalah lebih lama berbanding model sebelum ini. Pengecasan MagSafe masih disokong seperti biasa.

iPhone 13 mini dan iPhone 13 kini dikemas kini dengan paparan panel OLED berresolusikan Super Retina XDR. iPhone 13 mini hadir dengan skrin bersaiz 5.4-inci menakala untuk iPhone 13 pula ialah sebesar 6.1-inci. Kedua-dua model masih mengekalkan rekaan kelompang sisi rata sama seperti model sebelum ini. Ia ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Midnight, biru, merah jambu, Starlight dan PRODUCT(RED).

Menurut Apple, panel skrin hadapan iPhone 13 mini dan iPhone 13 ini mempunyai pelindung seramik yang mampu untuk menahan impak hentakan. Bagi takuk bahagian atas pula kini lebih kecil dengan bahagian dekap telinga dipindahkan pada bahagian bezel dan sistem pengimbas wajah Face ID masih dikekalkan.

Kedua-dua iPhone 13 mini dan iPhone 13 ini masih mengekalkan dwi-kamera dengan beberapa perubahan. Sistem dwi-kamera ini menggunakan 12 megapiksel dengan Sensor-Shift bagi sokongan mod malam yang ditambah baik. Selain itu, Apple juga turut memperkenalkan ciri mod Cinematic baharu yang menggunakan lensa sudut lebar dan ultra sudut lebar bagi memberikan pengalaman rakan video seakan efek seperti filem.

Bagi yang berminat, iPhone 13 mini mula dijual pada harga RM3,399 bagi storan 128GB dan boleh menjangkau sehingga RM4,799 untuk pilihan storan 512GB. Untuk iPhone 13 pula, bagi storan 128GB dijual pada harga RM3,899 manakala storan yang terbesar iaitu 512GB dijual pada harga RM5,299. Tiada lagi storan 64GB dijual sebagai permulaan.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen