Apple hari ini telah memperkenalkan sebuah sistem operasi baharu dinamakan sebagai ‘iPadOS’. Sistem operasi iPadOS ini direka secara khas untuk keluarga peranti iPad. Menurut Apple, iPadOS akan membawakan sebuah pengalaman baharu dengan keupayaan seakan seperti menggunakan sebuah komputer.
Pembangunan iPadOS masih lagi berasaskan seperti iOS dengan penambahbaikan dari segi penggunaan tablet. Bermula dengan halaman utama, antaramuka telah diubah suai dengan paparan baharu membolehkan aplikasi disusun dengan lebih banyak. Penggunaan Widget juga kini boleh diakses secara terus dan pantas pada halaman utama.
iPadOS menekankan akan penggunaan mengakses fail dan dokumen dalam pada masa yang sama dengan ciri Split View. Menerusi ciri Slide Over, pengguna boleh menukar kepada aplikasi lain dengan pantas. Selain itu, iPadOS juga menambahkan penggunaan Apple Pencil dengan lebih praktik dan produktif berbanding versi iOS sebelum ini. Tambahan, Apple juga telah mengurangkan latensi Apple Pencil serendah 9 milisaat.
Khususnya untuk iPad Pro, pengguna kini boleh menyambungkan cakera USB ataupun pemacu luaran dengan fail yang boleh diakses menggunakan aplikasi Files. iPadOS juga tersedia dengan tema gelap sama seperti iOS 13. Buat masa ini, iPadOS masih lagi dalam pembangunan dan akan dilancarkan secara rasmi pada bulan September ini bersama-sama sistem operasi yang lain.
Berikut ialah senerai peranti yang menyokong sistem operasi iPadOS:
- iPad Pro 12.9-inci
- iPad Pro 11-inci
- iPad Pro 10.5-inci
- iPad Pro 9.7-inci
- iPad (generasi ke-6)
- iPad (generasi ke-5)
- iPad mini (generasi ke-5)
- iPad mini 4
- iPad Air (generasi ke-3)
- iPad Air 2
Tambah Komen