Setelah melakukan peleraian iPhone 11 Pro pada hari Jumaat lepas, iFixit kini kembali dengan peleraian model asas iPhone 11. Hasil peleraian tersebut menurut iFixit menyatakan, rekaan dalaman adalah hampir sama seperti iPhone XR tetapi terdapat beberapa perubahan dari segi komponen dan reka bentuk papan induk.
iPhone 11 mempunyai papan induk baharu dengan rekaan bertingkat yang lebih kecil dan agak sama seperti papan induk yang terdapat pada model iPhone 11 Pro. Selain itu, komponen kamera dengan lensa sudut lebar yang mempunyai OIS boleh dilihat melalui sinar elektromagnet x-ray.
Dengan ini juga mengesahkan bateri berkapasiti 3110 mAh yang terdapat pada iPhone 11. Peningkatan sebanyak 7% dengan penawaran masa penggunaan 1 jam tambahan berbanding bateri iPhone XR seperti yang dinyatakan oleh Apple sewaktu acara khas bulan September yang lepas.
Keputusan peleraian iPhone 11 ini mendapat markah pembaikan sebanyak 6 daripada 10. iFixit juga menyatakan, iPhone 11 ini ialah ‘iPhone XR dengan komponen dalaman daripada iPhone 11 Pro’. Anda boleh membaca rangkuman peleraian ini di bawah untuk maklumat lebih lanjut.
Sumber: iFixit
Tambah Komen