iFixit telah melakukan peleraian bagi peranti jam tangan pintar Apple Watch Series 5 yang baru sahaja dilancarkan pada beberapa minggu lepas. Hasil peleraian tersebut menunjukkan hampir keseluruhan komponen dan bahagian dalaman Series 5 adalah seakan sama seperti Series 4. Bahagian luaran kedua-dua siri juga tampak sama jika tidak memeriksa pada bahagian bawah jam.
Perubahan yang ketara ialah ciri skrin sentiasa aktif yang terdapat pada Series 5. Menurut iFixit, Apple Watch Series 5 mempunyai cip pengurusan kuasa yang ditambah baik dan paparan yang baharu termasuklah sensor cahaya ambien pada skrin bagi membolehkan penggunaan ciri tersebut tidak mengganggu jangka hayat bateri.
Terdapat juga komponen kompas terbina yang dijumpai dan juga bateri yang lebih besar berbanding Series 4 (1.4% besar untuk model 44mm). Apple Watch Series 5 menggunakan cip pemprosesan S5 dengan dwi-teras 64bit tetapi masih menggunakan CPU dan GPU yang terdapat pada Series 4 dan prestasi keseluruhan adalah sama.
Menurut iFixit lagi, terdapat beberapa perubahan kecil pada kabel port sambungan untuk Taptik Engine, paparan skrin dan bateri. Oleh itu, ketiga-tiga bahagian komponen ini tidak boleh ditukar ganti antara kedua-dua siri.
Sumber: iFixit
Tambah Komen