Dengan memasuki tahun baharu, Apple sudah tentu akan mengemas kini peranti mercu mereka bagi memastikan spesifikasi adalah mengikut aliran terkini. Terbaharu, penganalisis dari Bloomberg Mark Gurman telah melaporkan bahawa Apple bakal memperkenal tiga model iPad yang dikemas kini dengan rekaan dan spesifikasi baharu pada tahun hadapan.
Menurut beliau, model iPad Pro akan diperkenalkan dengan rekaan serba baharu dan menyokong pengecasan tanpa wayar. Berdasarkan model iPhone yang bermula dari siri 8, 8 Plus, X dan seterusnya, rekaan belakang model iPhone tersebut adalah menggunakan bahan kaca. Ini kerana, penggunaan pad pengecasan Qi tidak boleh berhubung dan melekat dengan bahan aluminium.
Oleh itu, kita mungkin akan dapat melihat rekaan model iPad Pro baharu seperti model iPhone 12 dan iPhone 13 yang hadir dengan permukaan rata pada bahagian sisi dan bahan kaca pada bahagian belakang. Tidak dipastikan samada pengacasan MagSafe bermagnet pada iPhone akan dibawa untuk iPad Pro ini.
Dalam pada itu, Apple juga akan mengemas kini model iPad Air baharu pada tahun hadapan. iPad Air generasi kelima ini akan mempunyai spesifikasi seakan seperti iPad mini yang menggunakan cip A15 Bionic, sambungan 5G dan kamera Center Stage. Mark Gurman menegaskan tahun hadapan adalah masa yang sesuai untuk model iPad Air hadir dengan generasi baharu selepas setahun tidak dikemas kini setelah diperkenalkan pada bulan September 2020.
Selain daripada model iPad Pro dan iPad Air, Apple juga dilapor akan mengemas kini model iPad asas bagi spesifikasi yang baharu. Dari segi rekaan, ia berkemungkinan masih mengekalkan butang Home dengan integrasi Touch ID, kemas kini cip pemprosesan dan beberapa ciri kecil dari model iPad lain yang ditambah.
Sumber artikel: MacRumors
Tambah Komen