Berita iOS

Kemas Kini iOS 13.1 Masih Mempunyai Masalah Skrin Tidak Mengesan Sentuhan


Setiap kemas kini mempunyai penampalan pepijat serta penambahbaikan prestasi bagi penggunaan, namun masih terdapat beberapa masalah yang terjadi pada sebahagian pengguna. Menerusi Amanz melaporkan, masalah skrin yang tidak menerima dan mengesan sentuhan masih lagi wujud dan dialami walaupun telah membuat kemas kini iOS 13.1 yang baru sahaja dilepaskan semalam.

Pepijat ini terjadi pada bahagian skrin yang tidak mengesan sebarang tatalan atau sentuhan apabila sedang menggunakan aplikasi. Masalah yang sama juga terjadi apabila ditukar ke aplikasi yang lain tetapi peranti masih mengesan arahan gesture seperti untuk keluar atau menukar aplikasi. Pada halaman utama, tatalan dan sentuhan masih berfungsi dan dikesan seperti biasa.

Masalah ini berlaku secara rawak dan satu sahaja cara penyelesaian iaitu dengan mematikan dan menghidupkan semula peranti. Berdasarkan maklum balas, kebanyakan pengguna iPhone X termasuklah iPhone 7 dan iPhone 11 Pro Max milik penulis yang terkena akan masalah pepijat ini.

Bagi pengguna yang mengalami masalah ini, saranan kami ialah melakukan proses mengeset semula peranti menggunakan Restore iOS pada iTunes. Cara ini ialah dengan menghilangkan kesemua data dan memasangkan semula sistem operasi iOS atau ‘clean install’. Pastikan anda membuat salian data pendua (backup) sebelum melakukan proses Restore iOS ini.

Sekiranya masalah ini masih terjadi, bagi pengguna iPhone X, Apple telah membuat program penggantian modul skrin bagi masalah sentuhan seperti ini. Bawa iPhone X anda ke Penyedia Perkhidmatan Berdaftar Apple (AASP) bagi melakukan pemeriksaan samada layak atau tidak untuk program gantian tersebut dan jika layak, tiada sebarang bayaran perlu dibuat.

Bagi pengguna lain, jika masalah yang sama masih terjadi, anda boleh melaporkan masalah ini kepada pihak Apple untuk mereka menampal dan memperbaiki pada kemas kini iOS akan datang. Laporan boleh dibuat melalui:

laman Apple Support

laman Apple Feedback


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen