Berita iOS

Kemas Kini iOS 13.1 Boleh Dimuat Turun Secara Rasmi


Selepas sistem operasi iOS 13 dilancarkan secara rasmi pada 20 September yang lepas, Apple hari ini telah melepaskan kemas kini utama yang pertama iaitu iOS 13.1. Sebelum ini, kemas kini iOS 13.1 dijadual akan dilepaskan secara rasmi pada 1 Oktober ini tetapi telah diawalkan atas beberapa faktor.

Ramai pengguna beta dan ulasan model iPhone 11 menyatakan bahawa iOS 13 masih tidak stabil walaupun diuji pada model iPhone baharu tahun ini. Salah satu sebab yang ketara ialah pepijat ciri gerak isyarat tiga jari “tap-and-hold” yang menyebabkan aplikasi tidak boleh digunakan secara normal. Ini termasuklah permainan iOS seperti Fortnite dan PUBG yang menyebabkan pengalaman bermain adalah tidak lancar dan stabil.

Berdasarkan beberapa ulasan beta menyatakan, iOS 13.1 adalah versi yang sepatutnya dilepaskan kepada umum pada 20 September lepas. Kemas kini iOS 13.1 ini membawakan pelbagai ciri dan fungsi, kestabilan dan penambahbaikan daripada iOS 13 sebelum ini. Pepijat yang dinyatakan di atas juga telah ditampal pada iOS 13.1 dan ciri tersebut telah diperbaiki untuk berfungsi dengan lebih baik.

Dari segi penggunaan bateri dan prestasi, iOS 13.1 menawarkan masa penggunaan yang lebih baik berbanding iOS 13.0. Namun, maklum balas dan ulasan diberikan adalah bergantung pada keadaan peranti itu sendiri. Setiap peranti mempunyai kestabilan dan prestasi yang berbeza serta tersendiri berdasarkan beberapa faktor seperti tempoh penggunaan harian, tempoh kekerapan mengecas peranti dan yang lain.

Bagi pengguna yang baru sahaja mengemas kini dan menggunakan iOS 13.0 sebelum ini, anda lebih disarankan untuk mengemas kini iOS 13.1 ini untuk penggunaan yang lebih stabil pada iPhone anda. Untuk senarai ciri dan fungsi baharu iOS 13.1 dan nota rasmi Apple, anda boleh membacanya pada artikel ini.

Bagi yang belum mengemas kini iOS 13 dan iOS 13.1, anda boleh membaca panduan ini sebelum membuat kemas kini. Bagi pengguna beta, anda perlu membuang profil beta daripada peranti anda untu menerima kemas kini iOS 13.1 yang stabil ini dan muncul pada bahagian Software Update. Untuk menerima kembali kemas kini beta, anda boleh memasang kembali profil beta tersebut.

Gambar oleh Brandon Butch.

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen