Info iOS

13 Perkara Dan Panduan Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Mengemas Kini iOS 13


iOS 13 ialah merupakan sistem operasi baharu yang diperkenalkan oleh Apple pada tahun ini. Kemas kini baharu ini merangkumi peranti iOS seperti iPhone dan iPod touch. Setiap kemas kini mempunyai beberapa keperluan dan perkara penting yang anda perlu tahu terlebih dahulu.

1. Waktu kemas kini.

Kemas kini iOS 13.0 bakal dilancarkan secara rasmi bermula pada 20 September 2019, pukul 1.00 pagi, hari Jumaat waktu Malaysia. Jika anda berada di tempat lain, waktu dan masa adalah berbeza. Kebiasaannya, kemas kini sedia dilakukan adalah sedikit lambat dan tidaklah tepat seperti masa yang ditetapkan.

Bagi kemas kini iOS 13.1, ia akan dilancarkan secara rasmi pada 25 September 2019, pukul 1.00 pagi, hari Rabu waktu Malaysia.

2. Sokongan peranti.

Terdapat beberapa peranti yang tidak menyokong iOS 13 daripada senarai iOS 12. Peranti tersebut ialah iPhone 5S, iPhone 6, iPhone 6 Plus dan iPod touch generasi ke-6. Berikut ialah senarai penuh peranti yang menyokong iOS 13:

  • iPhone 11 Pro Max⠀
  • iPhone 11 Pro⠀
  • iPhone 11⠀
  • iPhone XS Max⠀
  • iPhone XS⠀
  • iPhone XR⠀
  • iPhone X⠀
  • iPhone 8 Plus⠀
  • iPhone 8⠀
  • iPhone 7 Plus⠀
  • iPhone 7⠀
  • iPhone 6s Plus⠀
  • iPhone 6s⠀
  • iPhone SE⠀
  • iPod touch (generasi ke-7)

3. Jenis kemas kini.

Kemas kini sistem operasi iOS 13.0 dan iOS 13.1 ini ialah bercirikan kemas kini utama atau major update. Major update membawakan dan mempunyai pelbagai ciri dan fungsi baharu yang tidak dapat pada versi iOS sebelum ini. Bagi kemas kini kecil atau minor update ialah seperti iOS 13.0.1 (misalnya) yang mempunyai beberapa penambahbaikan dari segi prestasi dan kestabilan. Agak jarang sekali untuk ciri dan fungsi baharu ditawarkan pada kemas kini kecil ini.

4. Kestabilan kemas kini.

Beberapa ulasan oleh pengguna sebelum ini termasuklah oleh The Verge menyatakan, iOS 13 masih lagi tidak stabil dan mempunyai beberapa pepijat yang boleh mengganggu prestasi dan penggunaan peranti. Namun, anda boleh mengemas kini ke iOS 13.1 yang lebih stabil dari segi prestasi dan penggunaan.

Setiap peranti mempunyai kestabilan dan prestasi yang berbeza serta tersendiri setelah iOS 13/iOS 13.1 dipasang. Seperti contoh, iPhone 7 yang telah digantikan dengan bateri baharu mempunyai masa penggunaan yang lebih lama berbanding iPhone 7 yang tidak pernah ditukarkan bateri. Ini termasuk juga senarai aplikasi yang dipasang, tetapan yang digunakan (Reduce Transparency, Reduce Motion, Background App Refresh dan sebagainya) dan juga tempoh penggunaan harian oleh pemilik serta tempoh kekerapan mengecas peranti.

Jika anda ingin mendapatkan ulasan dan maklum balas daripada pengguna yang telah mengemas kini iOS baharu ini, pastikan faktor di atas diambil kira terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk membuat kemas kini pada peranti anda.

5. Cara kemas kini.

Anda boleh melakukan kemas kini ini melalui dua cara iaitu Over The Air (OTA) atau perisian iTunes. Kedua-dua cara ini adalah berbeza mengikut proses, tempoh dan keinginan pengguna.

Kemas kini melalui Over The Air (OTA) ialah dengan memuat turun kemas kini sistem operasi pada Settings > General > Software Update peranti yang anda gunakan. Proses kemas kini juga dilakukan pada peranti itu sendiri. Saiz menggunakan cara OTA ini adalah sedikit kecil berbanding memuat turun fail IPSW untuk digunakan pada perisian iTunes.

Kemas kini yang dilakukan dengan menggunakan perisian iTunes ini memerlukan anda untuk memuat turun fail IPSW samada dengan cara manual atau cara automatik dengan menggunakan perisian iTunes itu sendiri. Fail IPSW ialah fail mampatan yang di dalamnya terdapat kod, gambar dan fail-fail lain termasuklah ciri dan fungsi iOS apabila diekstrakkan. Anda juga perlu mengemas kini perisian iTunes kepada yang terkini bagi membolehkan ia menyokong iOS 13 bagi proses kemas kini.

6. Membuat salinan data pendua (backup).

Mempunyai simpanan data pendua adalah disarankan untuk dilakukan sebelum membuat proses kemas kini iOS. Ini adalah untuk mengelakkan dari sebarang data hilang semasa proses kemas kini tersebut. Sekiranya anda membuat kemas kini iOS 13 menggunakan Restore iOS (termasuklah Update iOS) pada iTunes, anda perlu membuat backup pada iTunes sebelum membuat kemas kini dengan menekan butang Backup Now. Setelah selesai, tekan Restore Backup untuk memindahkan data kembali ke peranti anda.

Bagi pengguna yang ingin membuat kemas kini menggunakan OTA, anda boleh membuat backup pada iTunes atau pada iCloud atau pun kedua-duanya sekali. Sekiranya anda mempunyai internet Wi-Fi berkelajuan tinggi dan melanggan storan iCloud tambahan bulanan, anda boleh membuat backup pada iCloud dengan pergi ke panel Settings > iCloud > iCloud Backup atau Settings > Apple ID (atas sekali) > iCloud > iCloud Backup mengikut versi iOS digunakan.

7. Peratusan bateri dan keadaan peranti.

Peratus bateri yang disarankan ialah sekurangnya 50% dan ke atas bagi yang menggunakan cara Over The Air (OTA). Anda boleh mengecas peranti anda semasa proses muat turun dan juga semasa proses pemasangan kemas kini tersebut. Pada kedua-dua proses ini, peranti anda mungkin akan sedikit panas. Oleh itu, elakkan daripada mengggunakan peranti anda seperti bermain permainan dan melakukan kemas kini aplikasi yang boleh mengganggu proses muat turun dan pemasangan kemas kini iOS.

8. Ruang storan dan saiz kemas kini.

Setiap model peranti mempunyai sokongan ciri dan fungsi yang berbeza. Oleh itu, setiap model juga mempunyai saiz muat turun kemas kini yang berbeza. Seperti contoh, saiz kemas kini iOS 13/iOS 13.1 pada iPhone XS adalah lebih besar berbanding iPhone SE disebabkan beberapa ciri iOS 13/iOS 13.1 yang hanya terdapat pada model terkini. Diharapkan tiada pengguna yang masih pelik dengan saiz kemas kini pada peranti masing-masing.

Untuk cara OTA, pastikan anda mempunyai ruang storan yang mencukupi untuk proses muat turun dan proses pemasangan dilakukan pada peranti. Sekurang-kurangnya ruang storan sebanyak 5GB-8GB tersedia disarankan sebelum melakukan kedua-dua proses tersebut.

9. Kelajuan muat turun dan sambungan internet.

Apabila kemas kini dilakukan di seluruh dunia, ramai majoriti pengguna akan melakukan proses kemas kini secara serentak sekali gus dalam satu masa. Dengan itu, kelajuan muat turun kemas kini adalah sedikit perlahan berbanding yang biasa dan kelajuan internet yang anda gunakan juga adalah salah satu faktor untuk tempoh proses muat turun siap dilakukan.

Hanya sambungan internet menggunakan Wi-Fi sahaja dibenarkan untuk proses muat turun kemas kini. Pastikan peranti anda disambungkan dengan internet Wi-Fi dan tidak ada sebarang gangguan untuk kedua-dua proses yang dilakukan.

10. Proses pemasangan kemas kini.

Bagi yang melakukan kemas kini menggunakan cara OTA, apabila selesai proses muat turun, peranti anda akan memulakan proses pemasangan kemas kini. Tempoh proses ini untuk siap adalah bergantung pada ruang saiz storan yang tersedia dan juga pemprosesan peranti tersebut. Untuk peranti lama seperti iPhone 6s, proses pemasangan adalah perlahan dan mengambil masa yang lama berbanding iPhone XS.

Untuk yang menggunakan perisian iTunes, saiz fail IPSW yang besar memerlukan tempoh untuk diekstrak dan dipasangkan pada peranti anda. Ini juga termasuk proses menyalin semula data pendua kepada peranti anda akan mengambil masa yang lama jika saiz data pendua adalah besar (saiz maklumat aplikasi, gambar dan data-data lain).

11. Sokongan dan kestabilan aplikasi.

Apabila pemasangan kemas kini baharu dilakukan pada peranti yang anda gunakan, terdapat beberapa aplikasi yang tidak berfungsi dengan baik dan lancar seperti sebelum ini. Ini adalah disebabkan aplikasi tersebut belum dikemas kini untuk menyokong sistem operasi baharu tersebut. Oleh itu, akan ada beberapa aplikasi yang crash atau tidak berfungsi sepenuhnya dengan lancar.

Dengan itu, anda perlu menunggu dengan sabar untuk aplikasi tersebut dikemas kini oleh pembangun bagi menyokong iOS 13/iOS 13.1. Selepas mengemaskini iOS 13/iOS 13.1, rajinkanlah diri untuk melawati Apple App Store bagi mengetahui sekiranya terdapat kemas kini aplikasi dikeluarkan untuk membolehkan aplikasi tersebut digunakan dan berfungsi dengan lancar.

12. Pengguna iOS 13 dan iOS 13.1 Beta sebelum ini.

Pada 11 September yang lepas, Apple telah mengeluarkan versi iOS 13 untuk peringkat Golden Master (GM) atau beta terakhir. Ini bermaksud, tiada sebarang peringkat beta akan dikeluarkan jika anda belum mengemas kini versi iOS 13.1 beta. Versi GM ini adalah sama seperti pada versi yang dilancarkan.

Bagi pengguna iOS 13 beta yang telah mengemas kini versi GM ini, anda tidak akan menerima kemas kini yang dilancarkan disebabkan versi yang sama tersebut telah dipasang pada peranti anda. Bagi yang masih belum mengemas kini, anda disarankan untuk membuatnya sekarang ini untuk mengelakkan daripada masalah menerima kemas kini yang akan datang.

Bagi pengguna iOS 13.1 beta 4, anda perlu membuang profil beta daripada peranti anda untu menerima kemas kini iOS 13.1 yang stabil ini dan muncul pada bahagian Software Update.

Untuk pengguna yang tidak mahu lagi menerima dan menggunakan versi beta ini, anda boleh mendaftar keluar program beta tersebut dengan mengikuti tutorial ini. Jika anda tidak membuat daftar keluar, peranti anda akan senantiasa menerima kemas kini versi beta pada setiap kali ia dikeluarkan. Kemas kini kecil misalnya tidak akan muncul pada bahagian Software Update peranti anda.

Untuk pengguna yang masih ingin menggunakan versi beta ini sehingga versi beta akan datang, anda tidak perlu melakukan apa-apa langkah di atas.

13. Kenapa kemas kini iOS 13 tidak terdapat pada iPad?

Ini kerana kemas kini tersedia dan boleh dilakukan pada 25 September ini. Skema nama baharu digunakan untuk sistem operasi pada iPad juga dinamakan sebagai iPadOS 13.1.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen