Aplikasi

Instagram Mengumumkan Beberapa Ciri Baharu Untuk Melindungi Golongan Remaja


Instagram merupakan antara aplikasi media sosial yang paling ramai menggunakannya. Dari perkongsian stories, gambar dan video ia juga adalah salah satu cara untuk manusia kekal berhubung dan mencari rakan kenalan mahupun teman hidup. Pempengaruh, artis dan akaun perniagaan misalnya malah akaun golongan dewasa juga tidak pernah sesekali lari daripada komen berbentuk jelik, makian dan sebagainya. Perkara negatif sebegini sememangnya memberi kesan terhadap mental dan juga fizikal pengguna.

Dalam pada itu, Instagram telah mengumumkan beberapa ciri baharu untuk memberikan perlindungan terhadap golongan remaja khususnya pelajar sekolah dan bawah umur dengan memberikan beberapa kemas kini dan perkembangan mengenai ciri yang diuji sepanjang tahun ini.

Penjaga dan ibubapa akan boleh untuk menambah akaun anak mereka di bawah senarai jagaan pada akaun Instagram masing-masing. Dengan ini, penjaga atau ibubapa boleh memeriksa berapa banyak tempoh masa yang dihabiskan melayari Instagram oleh anak mereka. Penjaga dan ibubapa juga akan boleh diberitahu oleh anak mereka sekiranya mereka membuat laporan suatu akaun untuk membolehkan berbincang secara baik mengenai perkara ini.

Instagram juga mengumumkan beberapa hub pembelajaran untuk ibubapa dan penjaga mengenai kepentingan menjaga keselamatan anak mereka di media sosial.

Ciri Take A Break” telah mula diuji pada bulan lepas dengan matlamat untuk menyarankan pengguna berehat seketika daripada melayari Instagram. Bermula hari ini, ciri ini boleh digunakan untuk pengguna di Amerika Syarikat, United Kingdom, Ireland, Kanada, New Zealand dan Australia dan kemudiannya diperluaskan kepada seluruh pengguna di seluruh dunia pada awal tahun hadapan.

Akaun remaja kini telah dinyahaktifkan bagi kebolehan sebarang tag atau mention dibuat oleh akaun yang tidak diikuti oleh mereka. Ciri ini disetkan secara tetap apabila akaun mereka didaftarkan buat pertama kali. Instagram juga menyatakan ciri ini akan ditambah baik dari masa ke semasa serta akan dilancarkan untuk semua pengguna bermula awal tahun hadapan.

Ciri “Sensitive Content Control” ialah ciri untuk memberikan pengguna memilih berapa banyak kandungan sensitif yang muncul pada halaman Explore. Terdapat tiga pilihan iaitu Limit adalah disetkan secara tetap pada semua pengguna dan Allow bagi yang mahu melihat kandungan sensitif manakala Limit Even More, kandungan sensitif dipaparkan adalah lebih terhad. Bagi menjaga keselamatan remaja, ciri ini akan ditambah baik pada Search, Explore, Hashtags, Reels dan Suggested Accounts untuk mengelakkan daripada mereka mengakses kadungan sensitif atau yang boleh mencederakan diri mereka.

Sebarang carian, gambar disukai, komen dan sebagainya akan diberikan satu topik untuk pengguna kekal mengikuti perkembangan topik tersebut. Setelah baru menyedari masalah ini telah memberikan impak negatif kepada pengguna, Instagram kelak akan menyarankan pengguna untuk mengikuti topik lain untuk seketika waktu. Ciri ini masih lagi pembangunan dan akan dikemas kini di masa akan datang.

Pada masa yang sama juga, Instagram mula menguji untuk membolehkan pengguna menguruskan akaun Instagram mereka dengan lebih mendalam. Pengguna akan boleh untuk memadamkan kandungan media seperti gambar atau video yang telah dihantar secara sekali gus termasuklah kandungan telah disukai (seperti unlike balik semula) dan komen yang dihantar sebelum ini. Ciri ini adalah terbuka untuk diakses oleh semua golongan pengguna dan akan mula dilancarkan pada bulan Januari hadapan.

Sumber artikel: Instagram


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen