Apple Music ialah servis penstriman muzik yang dilancarkan oleh Apple sejak 30 Jun 2015. Ia menjadi saingan yang hebat kepada Spotify, Pandora, Tidal, Amazon dan sebagainya. Umumnya, sejak dilancarkan, Apple menawarkan 3 bulan percubaan percuma untuk Apple Music. Kini, tiada lagi tawaran percubaan percuma Apple Music di 3 buah negara.
3 buah negara tersebut ialah Australia, Sepanyol dan Switzerland. Mulai 21 Mei, untuk tiga bulan pertama, pelanggan baru Apple Music perlu membayar AUD$0.99 di Australia, €0.99 di Sepanyol dan CHF1.00 di Switzerland. Perubahan ini hanya membabitkan pelanggan yang baru mahu mendaftar sahaja dan tidak membabitkan pelanggan sedia ada yang masih dalam tempoh percubaan.
Apple masih tidak mendedahkan kenapa hanya tiga buah negara sahaja yang dipilih untuk dikenakan caj percubaan 3 bulan. Setakat ini, di negara-negara lain, masih lagi ada tempoh percubaan percuma selama 3 bulan.
Perubahan harga atau tawaran percubaan percuma ini mungkin disebabkan kos yang tinggi yang terpaksa ditanggung oleh Apple. Kos bayaran royalti kepada artis-artis sudah tentu tinggi dan mahal. Sebelum ini, beberapa artis lantang bersuara meminta Apple untuk membayar royalti kepada artis walaupun ianya dimuat turun atau distrim pada tempoh percubaan percuma. Atas desakan artis-artis besar seperti Taylor Swift, akhirnya Apple akur untuk membayar wang royalti kepada semua artis walaupun pada tempoh percubaan percuma.
Sememangnya Spotify ada menawarkan penstriman percuma kepada pengguna yang tidak melanggan pakej premium. Walaupun begitu, pengguna akan ‘dipaksa’ mendengar iklan dan mempunyai sekatan-sekatan lain. Untuk pakej premium, ianya dijual dengan harga RM14.90/bulan. Jika mengambil pakej keluarga, harganya ialah RM22.40/bulan untuk 6 akaun.
Apple Music pula, pengguna harus melanggan pakej premium, cuma hanya ada 3 bulan percubaan percuma (kecuali 3 negara seperti yang telah dinyatakan). Di Malaysia, harganya lebih kurang sama dengan Spotify; RM14.90/bulan dan RM22.90/bulan untuk 6 akaun (pakej keluarga).
Spotify mungkin mempunyai pendapatan yang banyak daripada perkhidmatan pengiklanan mereka selain daripada langganan. Apple pula tidak menyediakan perkhidmatan pengiklanan di Apple Music. Tidak pasti apakah alasan sebenar Apple untuk mengenakan caj percubaan Apple Music kepada 3 buah negara tersebut. Mungkin kos amat membebankan untuk menyediakan percubaan percuma selama 3 bulan kepada pengguna. Mungkin ada yang mengeksploitasi peluang dengan mencipta banyak Apple ID untuk mendapatkan percubaan percuma setiap 3 bulan. Mungkinkah perkara ini akan dilaksanakan ke seluruh dunia pula? Sama-sama kita tunggu.
Tambah Komen